KISAH PENDAYUNG SAMPAN
Suatu hari, seorang Professor yang sedang membuat kajian tentang lautan menumpang sebuah sampan. Pendayung sampan itu seorang tua yang begitu pendiam. Professor memang mencari pendayung sampan yang pendiam agar tidak banyak bertanya ketika dia sedang membuat kajian.Dengan begitu tekun Professor itu membuat kajian.Diambilnya sedikit air laut dengan tabung uji kemudian digoyang-goyang; selepas itu dia menulis sesuatu di dalam buku. Berjam-jam lamanya Professor itu membuat kajian dengan tekun sekali. Pendayung sampan itu mendongak ke langit.Berdasarkan pengalamannya dia berkata di dalam hati, “Hmm. Hari nak hujan.” “OK, semua sudah siap, mari kita balik ke darat” kata Professor itu. Pendayung sampan itu akur dan mula memusingkan sampannya ke arah pantai. Hanya dalam perjalanan pulang itu barulah Professor itu menegur pendayung sampan. “Kamu dah lama kerja mendayung sampan?” Tanya Professor itu. “Hampir semur hidup saya.” Jawab pendayung sampan itu dgn ringkas. “Seumur hidup kamu?” Tanya Professor itu lagi. “Ya”. “Jadi kamu tak tahu perkara-perkara lain selain dari mendayung sampan?” Tanya Professor itu. Pendayung sampan itu hanya menggelengkan kepalanya. Masih tidak berpuas hati, Professor itu bertanya lagi, “Kamu tahu geografi?” Pendayung sampan itu menggelengkan kepala. “Kalau macam ni, kamu dah kehilangan 25 peratus dari usia kamu.” Kata Professor itu lagi, “Kamu tahu biologi?” Pendayung sampan itu menggelengkan kepala. “Kasihan. Kamu dah kehilangan 50 peratus usia kamu. Kamu tahu fizik?” Professor itu masih lagi bertanya. Seperti tadi, pendayung sampan itu hanya menggelengkan kepala. “Kalau begini, kasihan, kamu sudah kehilangan 75 peratus dari usia kamu.Malang sungguh nasib kamu, semuanya tak tahu.Seluruh usia kamu dihabiskan sebagai pendayung sampan.” Kata Professor itu dengan nada mengejek dan angkuh. Pendayung sampan itu hanya berdiam diri. Selang beberapa minit kemudian, tiba-tiba hujan turun. Tiba-tiba saja datang ombak besar. Sampan itu dilambung ombak besar dan terbalik. Professor dan pendayung sampan terpelanting. Sempat pula pendayung sampan itu bertanya, “Kamu tahu berenang?” Professor itu menggelengkan kepala. “Kalau macam ini, kamu dah kehilangan 100 peratus nyawa kamu.” Kata pendayung sampan itu sambil berenang menuju ke pantai.
PENGAJARAN DARI CERITA INI
Dalam hidup ini IQ yang tinggi belum tentu boleh menjamin kehidupan.
Tak guna kita pandai dan tahu banyak perkara jika tak tahu perkara-perkara penting dalam hidup.
Adakalanya orang yang kita sangka bodoh itu rupanya lebih berjaya dari kita.
Dia mungkin bodoh dalam bidang yang tidak ada kena mengena dengan kerjayanya,
tetapi “MASTER” dalam bidang yang diceburi.
Hidup ini singkat. Jadi, tanyalah pada diri sendiri,untuk apakah ilmu yg dikumpulkan jika bukan utk
digunakan dan boleh digunakan?
LAIN-LAIN
Cerita 1
Kononnya, terdapat sebuah negeri yang rajanya tidak mempunyai seorang putera, tetapi hanya mempunyai seorang puteri. Raja itu menjadi sugul sentiasa kerana baginda tidak mempunyai pengganti. Akhirnya, baginda meminta pendapat bendahara baginda. Sang bendahara mencadangkan agar salah seorang daripada hamba rakyat dipilih sebagai menantu baginda. Raja bersetuju tetapi siapakah yang harus dipilih.
Ada yang mencadangkan supaya seorang pemuda gagah dipilih tetapi dibantah oleh pembesar yang lain dengan alasan, sebelum raja mangkat, raja akan digulingkan oleh pemuda gagah yang menjadi menantu raja itu. Berbagai-bagai cadangan dikemukakan tetapi semuanya tidak dapat digunakan.
Akhirnya puteri raja bersuara: "Ayahanda, anakanda mencadangkan agar sesiapa juga yang berjaya menyeberangi sungai yang menjadi sempadan di antara istana kita dengan kampung hamba rakyat, maka orang itulah yang sanggup anakanda kahwini." Raja dan para pembesar bersetuju kerana mereka yakin bahawa hanya pemuda yang terbaik sahaja yang akan berjaya menyeberangi sungai yang telah banyak meragut nyawa penduduk negeri itu. Di lubuk sungai itu, tinggal sekeluarga buaya yang sudah sekian lama mengganas membaham penduduk yang leka di tepi sungai. Diumumkanlah hasrat puteri raja itu.
Tibalah hari diadakan sayembara itu. Salah seorang pemuda yang kelihatan sasa terjun ke dalam sungai itu. Belum pun sampai di pertengahan sungai, pemuda itu berenang patah balik kerana dilihatnya beberapa ekor buaya tiba-tiba muncul di permukaan air.
Lebih kurang 99 orang pemuda yang berusaha untuk berenang ke seberang sungai telah berpatah balik ke tebing sungai permulaan sayembara.Setelah itu, agak lama, tidak ada sesiapa pun yang terjun ke dalam sungai. Beberapa ketika kemudian, kedengaran deburan air. Seorang pemuda kurus berenang tergesa-gesa pontang-panting menuju ke daratan di seberang sungai. Dia berjaya sampai ke tebing. Semua orang bertepuk tangan sebaik-baik sahaja pemuda kurus itu sampai ke tebing.
Sebaik-baik sahaja naik ke atas, pemuda itu berkata: "Ampunkan patik tuanku. Bukan patik mahu terjun ke dalam sungai itu, tetapi patik ditolak orang. Sebaik-baik sahaja berada di air, patik melihat bayangan buaya di dalam air. Sebab itulah patik bermati-matian berenang ke tebing untuk menyelamatkan nyawa patik." Raja ketawa dan berkata: "Tidak mengapa orang muda. Apa pun alasan awak, awaklah yang berhak mengahwini puteri beta dan bakal menjadi pengganti beta."
Moral ceritanya ialah orang yang tidak berhasrat untuk menjadi berjaya dalam perniagaan MLM ini pun masih boleh berjaya. Inikan pula anda yang sudah pun menetapkan matlamat untuk berjaya dalam perniagaan ini.
Cerita 2
Pada suatu masa dahulu, ada seorang pemuda yang mahu mendalami ilmu persilatannya. Ia mendengar bahawa di sebuah gua, terdapat seorang pertapa yang telah terkenal kerana bukan sahaja mempunyai ilmu persilatan yang tinggi bahkan kaya dengan ilmu kebatinannya. Pergilah pemuda itu mencari pertapa itu. Akhirnya dia berjaya. Pertapa itu memberikan syarat kepada pemuda itu. Jika pemuda itu berhasrat untuk menjadi muridnya, pemuda itu mesti pergi ke suatu tempat dan membawa balik sebutir batu yang sejuk kepadanya. Pemuda itu sanggup. Setelah diberitahukan di mana tempat itu, pergilah pemuda itu ke situ.
Setibanya di situ, pemuda itu mendapati memang banyak batu di situ tetapi dia tidak tahu batu mana yang dimaksudkan oleh pertapa itu. Dia mengambil sebiji batu dan dilepaskannya. Ternyata batu yang baru diambilnya itu panas membara. Dia mengalas tapak tangannya dengan kain pengikat kepalanya untuk mengurangkan bahang kepanasan. Satu persatu batu itu dipegangnya dan dibuangnya kerana dirasakannya panas.
Akhirnya, tidak ada sebutir batu pun di situ. Dia terfikir, mungkin pertapa itu menipunya kerana tidak ada pun batu yang sejuk di situ. Pada fikirannya, pertapa itu hanya memberikan alasan untuk tidak mahu menerimanya.
Moral ceritanya ialah kita jangan takut menghadapi cabaran kerana antara banyak cabaran itu tentu ada hikmah di sebaliknya. Jika pemuda itu tidak mengalas telapak tangannya dengan kain, sudah tentu dia akan merasa akan ada sebutir batu yang bentul-betul sejuk. Bagaimana pemuda itu hendak membezakan batu yang sejuk daripada batu yang panas kalau tangannya beralas? Bagaimana anda akan mencapai kejayaan kalau anda takut akan cabaran.
Cerita 3
Dua orang pelari hendak berlumba lari di trek. Mereka dibekalkan dengan beberapa pasang kasut trek pelbagai jenis. Pemuda pertama tanpa berfikir panjang lagi terus menyarung salah satu daripada kasut trek itu lalu memecut hingga sampai ke garisan penamat. Dari garisan penamat, dilihatnya pesaingnya masih lagi memilih-milih kasut trek yang sesuai untuk perlumbaan itu.
Moral ceritanya ialah anda jangan berlengah kerana orang lain telah pun bermula dan mungkin telah berjaya. Jangan juga terlalu memilih syarikat MLM yang perlu anda sertai. Pilih-memilih itu bukan prasyarat untuk berjaya. Prasyarat kejayaan ialah mahu buat dan terus buat.
Cerita 4
Pernahkah anda mendengar cerita anjing dengan bayang-bayang. Sang anjing yang sedang menggonggong tulang itu melepaskan tulang yang ada di dalam mulutnya hanya semata-mata melihat bayangnya sendiri yang juga sedang menggonggong tulang.
Moralnya : Apabila anda sudah berada di dalam mana-mana syarikat MLM, anda jangan sekali-kali terpengaruh oleh ajakan atau khabar bahawa ada sebuah syarikat MLM lain yang lebih bagus lalu anda tidak mahu lagi menjalankan perniagaan dalam syarikat MLM yang sedia ada dan menyertai syarikat MLM yang baru itu pula. Jika ini tindakan yang anda ambil, anda akan rugi seperti anjing yang kehilangan tulang yang digonggongnya itu.
Cerita 5
Di Florida, diceritakan bahawa telah tiba musim berombak. Aktiviti papan luncur menjadi pesta di pesisir pantai. Di gigi pantai, seorang pemuda duduk sambil berfikir. "Kalau gunakan 2 papan luncur tentu lebih seronok daripada menggunakan sebuah papan luncur". Setelah habis berfikir, pemuda itu pun mengambil dua papan luncur lalu pergi ke gigi pantai. Pada mulanya, dia memang seronok kerana kedua-dua belah kakinya berpijak pada papan luncur tetapi sebaik-baik sahaja ombak besar melandanya, dia terhumban dan kepalanya cedera terkena batu yang kebetulan ada di situ kerana gagal mengimbangkan badan dan kakinya pada kedua-dua papan luncur itu.
Moralnya: Jangan terlalu tamak. Berniagalah dengan sebuah syarikat MLM sahaja. Jangan menyertai lebih daripada sebuah syarikat MLM kerana akhirnya anda tidak akan berupaya mengurus perniagaan anda.
Cerita 6
Dua orang pegawai pemasaran telah diarahkan oleh majikan mereka untuk membuat tinjauan sama ada kasut boleh dijual kepada penduduk di sebuah negara di benua Afrika. Kedua-dua pegawai itu berlepas ke negara itu. Seminggu kemudian, pegawai pertama balik dan membuat laporan kepada majikannya. "Bos, saya fikir, kita tidak boleh jual kasut di sana. Semua orang di situ tidak memakai kasut bahkan tidak pun mengenali kasut."
Beberapa minit kemudian, pegawai kedua pula balik dan membuat laporan. "Bos, masa depan syarikat kasut kita di sana sungguh cerah." Sang majikan terkejut. "Bagaimana? Kata pegawai pertama tadi, orang di sana tak kenal kasut. Macam mana kita nak jual kasut?" Pegawai kedua berkata, "Senang saja, bos. Memang orang di sana tak kenal kasut dan tidak memerlukan kasut tetapi kita mesti mewujudkan keadaan yang akan menyebabkan mereka memerlukan kasut dan akhirnya kenal akan kasut." Majikan ingin tahu, "Bagaimana?" "Kita upah orang taburkan paku dan paku tekan di jalanan di tempat mereka lalu-lalang dan kita buka kedai kasut di tengah jalan itu."
Moral ceritanya ialah pertama, anda mesti kreatif. Anda harus mencipta keadaan yang pelanggan akan memerlukan produk yang anda pasarkan.Anda tidak harus bergantung pada kegunaan tradisi produk itu. Kedua, anda jangan membuat penilaian berdasarkan pemerhatian kasar. Jangan berpendapat bahawa kerana begitu banyak orang berjual produk yang sama di suatu tempat, maka tidak ada peluang untuk anda mencari keuntungan.